Senarai Blog Saya

Rabu, 22 Ogos 2012

Undi Golongan Muda Akan Bantu BN Rampas Empat Negeri Pembangkang

 
 
Empat buah negeri yang tawan pembangkang bakal dirampas kembali oleh Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berdasarkan sambutan golongan muda yang  mendaftar nama sebagai pemilih menerusi kaunter khas yang dibuka Pemuda di seluruh negara.

Exco Pemuda Umno, Hisamuddin Yahya berkata, Pergerakan Pemuda Umno cukup yakin untuk merampas semula Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang pada PRU13 yang bakal diadakan bila-bila masa sahaja.

“Hasil daripada gerak kerja yang dijalankan Pemuda sejak tiga tahun lalu telah berjaya menarik ramai golongan muda untuk mendaftar sebagai pemilih sekaligus menjadikan mereka sebagai undi penentu kemenangan BN pada PRU13 akan datang.

“Boleh dikatakan di semua negeri yang dikuasai pembangkang, golongan muda kini dilihat mampu merealisasikan hasrat BN merampas semula negeri tersebut.

“Berdasarkan statistik bagi suku pertama tahun ini,  Kelantan mencatatkan sebanyak 441,939 pengundi muda atau 49.38 peratus daripada 894,915 pengundi berdaftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Diikuti Selangor sebanyak 853,107 atau 43.14 peratus daripada 1,977,332 pengundi; Kedah 436,840 daripada 1,013,888; Pulau Pinang 307,755 daripada 826,135 dan Wilayah Persekutuan 281,041 daripada 775,514 pengundi,” katanya selepas Program Ziarah Ramadan Pemuda Umno anjuran Pemuda Umno pusat di Madrasah Al-Nasariah Kampung Pendiat, Bota Kanan dekat Parit hari ini.
Terdahulu Hisamuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keahlian dan Pemilih Pemuda Umno pusat turut menyampaikan duit raya kepada lebih 30 orang anak yatim dan warga emas sempena sambutan Hari Raya, esok.

Menurutnya,  Pemuda juga mengenalpasti sebanyak 179 daripada 222 buah kerusi Parlimen pada PRU13 akan datang turut ditentukan oleh golongan muda berusia di bawah 40 tahun.

“Kita yakin kesemua kerusi berkenaan akan dikuasai oleh BN termasuk merampas semula 13 Kerusi Parlimen di Kelantan, Selangor (10), Pulau Pinang (8), Kedah (5) dan Wilayah Persekutuan (6).

“Justeru itu, semua jentera Pergerakan Pemuda Umno Negeri dan bahagian diminta terus mendekati kira-kira 5,428,303 pengundi muda sebagai persiapan menghadapi PRU13 akan datang,” katanya.

Hisamuddin berkata langkah pertama yang perlu dilakukan adalah mengenal pasti tempat tinggal mereka bagi memudahkan jentera pilihan raya selain melengkapkan maklumat dan data daripada setiap keluarga supaya golongan muda yang bekerja di negeri lain dapat pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Menurutnya,  jentera pilihan raya juga boleh mendekati mereka sempena ketibaan bulan Syawal dengan menganjurkan program majlis rumah terbuka termasuk membantu mereka yang kurang berkemampuan seperti anak yatim, ibu tunggal dan warga emas.– Nooraini Mahamad.(Perak Today)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan