Senarai Blog Saya

Rabu, 22 Ogos 2012

 

Nyaris maut ditembak

IPOH: Harian Metro melaporkan, Seorang anggota polis nyaris maut apabila ditembak dari jarak dekat oleh sekumpulan penjenayah yang cuba merompak seorang ahli perniagaan di kawasan industri IGB, Kampung Tawas, di sini, kelmarin.
 
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, satu das tembakan dilepaskan terhadap anggota terbabit, tetapi tersasar sebelum tiga penjenayah lelaki termasuk seorang wanita melarikan diri menaiki Proton Waja.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis itu cuba membantu mangsa wanita berusia 39 tahun yang dirompak kumpulan penjenayah.
Menurutnya, kejadian berlaku sejurus ahli perniagaan itu selesai mengutip wang sewa lori dari pemiutang di kawasan industri itu.

“Mangsa yang berada berhampiran sebuah restoran kemudian diserbu tiga lelaki bertopeng sebelum memaksa mangsa menyerahkan wang RM5,000 dimiliki.

“Mangsa yang ketakutan kemudian menyerahkan wang itu kepada suspek yang dipercayai mengekori gerak geri mangsa,” katanya. Ahmad Termizi berkata, semua suspek yang dipercayai berusia lingkungan 20-an melarikan diri menaiki sebuah kereta menggunakan nombor pendaftaran palsu.
 
“Ahli perniagaan itu menjadi sasaran penjenayah selepas mangsa mengutip duit sewaan lori di kawasan pada masa sama setiap hari.

“Seorang anggota polis yang kebetulan berada di restoran itu dikatakan cuba menangkap seorang penjenayah.
 
“Bagaimanapun, suspek mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan tembakan bagi menghalang anggota polis terbabit,” katanya.

Menurutnya, kumpulan penjenayah itu turut dianggotai seorang wanita berada dalam kereta berkenaan.

“Polis sedang memburu semua suspek berdasarkan fizikal dan keterangan mangsa. Polis percaya suspek terbabit dalam pelbagai kes samun sekitar bandar raya ini.

“Kes rompakan itu disiasat mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Justeru, katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian hotline 05-2542222

Tiada ulasan:

Catat Ulasan