Senarai Blog Saya

Rabu, 15 Ogos 2012

Tiada Kompromi Dengan Penjualan Mercun Haram: Ketua Polis Perak

 
Polis Perak nyata tidak bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menjual mercun tanpa permit berdasarkan 17 tangkapan dibuat atas kesalahan itu dalam tempoh dua minggu yang lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan menegaskan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas terhadap pihak yang didapati melanggar undang-undang dengan menjual atau menyeludup mercun dari negara jiran.

“Kami tidak akan berkompromi dengan  mana-mana pihak yang cuba menyeludup mercun dari negara jiran kerana pemeriksaan akan dilakukan pada kenderaan, premis serta individu yang disyaki terlibat,” tegasnya.
Beliau berkata, pemeriksaan tersebut akan dijalankan setiap minggu bagi memastikan penjualan mercun itu dapat dibanteras oleh pihak berkuasa.

Meskipun nasihat serta pemeriksaan telah dilakukan oleh pihak polis bagi membanteras aktiviti tersebut, masih terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan aktiviti menjual mercun.

Sepanjang dua minggu lalu, Mohd Shukri berkata pihak polis sudah membuat penangkapan seramai 17 individu yang terlibat menjual mercun tanpa permit atau kebeneran daripada pihak berkuasa.

“Sebanyak 17 tangkapan melibatkan 12 kes iaitu enam di Manjung, dua kes di Gerik, dan setiap satu kes di Taiping, Tanjung Malim, Jelapang dan Perak Tengah,” katanya.

Katanya, 17 individu yang ditangkap itu ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Letupan 1957.
Sehingga kini, hanya terdapat 5 pemohonan dibuat kepada pihak polis untuk mendapat permit menjual mercun sepanjang bulan Ramadan.

Walaubagaimanapun, beliau berkata hanya dua jenis mercun yang dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk dijual kepada orang awam iaitu mercun jenis ‘Happy Boom’ dan ‘Pop-pop’.

Beliau turut menasihatkan supaya orang awam tidak membeli mercun yang merbahaya kerana dikhuatiri akan menyebabkan kecederaan kepada pengguna khasnya terhadap kanak-kanak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan