Senarai Blog Saya

Rabu, 19 September 2012



Warga ATM Digesa Tingkat Komitmen, Taat Dan Setia Kepada Negara

Warga pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digesa supaya  mengukuhkan lagi komitmen kerja dan menzahirkan taat setia terhadap negara tercinta.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata sejarah menyaksikan negara ini pernah dijajah kuasa asing sebanyak enam kali dalam tempoh 450 tahun antaranya Siam, British, Jepun dan Bintang Tiga

“Dalam tempoh di bawah kuasa asing itu, rakyat hidup dalam keadaan sengsara sehinggalah negara mencapai kemerdekaan dan suasana aman terus kekal pada hari ini.

“Keamanan dan keharmonian yang dikecapi rakyat hari ini kerana rahmat Allah dan usaha gigih yang dicurahkan oleh pasukan tentera yang disertai dengan sokongan padu daripada pihak kerajaan dan rakyat jelata.

“Oleh itu, generasi pasca-merdeka diharap jangan leka dengan suasana aman dan makmur ini, sebaliknya kita perlu bersedia menghadapi apa jua kemungkinan di zaman yang mencabar ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Koktel Sempena Hari Malaysia dan Hari Angkatan Tentera  di Dewan Bankuet, SUK, dekat Ipoh, malam tadi.

Hadir sama, Panglima Armada, Datuk Laksamana Mohd Hadi A Rashid dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Puhat Mat Nayan.

Zambry berkata lagi, adalah menjadi tanggungjawab ATM untuk memastikan suasana aman dan harmoni berkekalan supaya kemajuan dapat terus dinikmati dan aktiviti harian rakyat berjalan lancar.

“Jasa dan pengorbanan pasukan ATM perlu dikenang di atas komitmen padu yang diberikan dan saya juga menyeru warga pasukan agar dapat mengukuhkan lagi komitmen dan taat setia kepada khidmat dan negara tercinta.

“Imej ATM yang cukup berwibawa hendaklah dikekal dan dipertahankan kerana pasukan ini menerima pujian dan pengiktirafan di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pelbagai operasi pengaman dan pemerhati disertai pasukan ATM termasuklah di Somalia, Lubnan, Timur Leste dan Congo selain menghulurkan bantuan kemanusiaan di Banda Acheh, Mynmanr, China dan terbaru di Libya dan Syria,” tegasnya lagi.

Tambah Zambry lagi, pasukan itu juga perlu meningkatkan khidmat profesionalisme ke tahap tertinggi dan meletakkannya mengatasi kepentingan peribadi.

Terdahulu, Mohd Hadi dalam ucapannya, berkata pegawai dan anggota tentera berikrar memberi sokongan padu terhadap kerajaan yang memerintah hari ini.

“Pasukan ATM akan menjaga keselamatan negara dengan konsisten, berkhidmat secara profesional, ikhlas dan berdedikasi,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan