Senarai Blog Saya

Isnin, 17 September 2012

‘Komen dan Kritik, Tapi Jangan Benci Saya’: DS Zambry

 
 
“Jangan lihat sebagai Menteri Besar, lihat saya sebagai Ketua Bahagian, komen dan kritik, tapi jangan membenci saya,”.
 
 
Demikian sebahagian intipati ucapan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mengingatkan pemimpin atasan dan ahli UMNO di peringkat akar umbi bahawa mereka sebenarnya saling memerlukan antara satu-sama lain dalam menjayakan perjuangan parti.
 
“Ahli yang di bawah tidak lupa kepada pemimpin di atas dan mereka yang di atas juga tidak boleh melupakan ahli yang di bawah.
 
“Apabila menghadiri mesyuarat bahagian sendiri, saya maklumkan kepada ahli perwakilan jangan lihat saya sebagai Menteri Besar, lihat saya sebagai Ketua Bahagian. Komen dan kritik tetapi jangan membenci saya.
 
“Ini kerana pemimpin yang tidak ditegur ini merasakan dirinya hebat selalu,” katanya berucap di hadapan lebih 500 ahli UMNO sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gopeng, hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hamzah Kassim.
 
Zambry berkata lagi, berbanding dengan parti PKR dan DAP yang jelas berpaksikan parti keluarga, UMNO merupakan sebuah parti yang berdasarkan akar umbi.
 
Sehubungan itu, perpaduan perlu diperkukuhkan lagi dan jangan dibiarkan terlerai hingga membawa kepada tsunami politik 2008 yang menyaksikan Perak dikuasai parti pembangkang, katanya.
 
“Selama 66 tahun UMNO berjuang dari bawah, yakni golongan akar umbi yang menjadi kekuatan kita pada hari ini,” tegasnya lagi.
 
Zambry pada sidang media selepas itu, berkata semangat tinggi dan persiapan mental ahli UMNO Gopeng amat diperlukan bagi menghadapi pilihan raya umum datang.
 
“Di bawah kepimpinan sedia ada, saya yakin ia akan memberi impak yang besar kepada Barisan Nasional (BN) kerana sebelum ini ada beberapa kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki.
 
“Dan hari ini, kita lihat UMNO Gopeng sudah bersiap-siaga untuk menghadapi pilihan raya dan yang penting jangan kita lihat calon itu, sebaliknya calon itu mewakili BN,” tegasnya lagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan