Senarai Blog Saya

Isnin, 17 September 2012

Program rantaian manusia sejauh 351km dijadual 1 Januari 2013

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Pertubuhan Sukarelawan Ziarah Untuk Keamanan Malaysia (Ziarah Keamanan atau Ziarah for Peace) bakal menganjurkan Program Rantaian Manusia dari Changkat Jering ke Putrajaya sejauh 351 kilometer dengan penyertaan 1.5 juta orang pada 1 Jan 2013.

Presidennya, Dr Mohd Zamri Mohd Nordin berkata program itu diperkenalkan untuk menunjukkan secara simbolik bahawa rakyat negara ini bersatu dengan niat dan harapan yang sama bagi menghargai Malaysia sebagai destinasi keamanan.

“Program ini akan menyusuri jalan pesisir pantai bermula di Changkat Jering sebelum ke Beruas, Lumut, Hutan Melintang, Sekinchan, Kuala Selangor dan Banting sehingga ke Putrajaya,” katanya kepada pemberita pada jamuan Aidilfitri dan penerangan program rantaian itu di sini hari ini.
Beliau berkata khidmat 5,000 sukarelawan akan digunakan bagi mengawal lalu lintas sepanjang rantaian itu berlangsung.

“Kita juga menjemput pemimpin negara (untuk menyertainya) dan kini dalam proses menjemput Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk bersama kita,” katanya sambil menambah kira-kira 200 personaliti tempatan dijangka terlibat dalam acara itu. — Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan