Senarai Blog Saya

Rabu, 23 Januari 2013

Keberanian Dan Pengorbanan
SENARAI ANAK MELAYU PENGASAS KOMPENI PERCUBAAN ASKAR MELAYU
25_melayu
BARISAN HADAPAN DARI KIRI:
Usman bin Engguk, Jantan bin Abdul Rahman, Ismail bin Tahar, Ibrahim bin Sidek, Buyong bin Md Yasin, Ahmad bin Abdullah, Ngah bin Abdullah dan Ahmad bin Nordin.
BARIS KEDUA:
Abdul Ghaffar bin Abdullah, Ismail bin Ahmad, Abdul Manap bin Abdullah, Hj Kadir bin Hj Hassan, Raja Lope Nor Rashid bin Raja Abdul Rahman, Ariffin bin Hj Sulaiman, Ahmad bin Dodo, Mohd Taib bin Jais dan Buyong bin Md Yassin
BARISAN KETIGA:
Abdul Rahman bin Md. Yatim, Muhammad bin Kenit, Awang bin Abdullah, Musa bin Ismail, Usman bin Yunus, Abdul Samad bin Abdullah, Mohd Taib bin Jais dan Ismail bin Mahmud. (Naim dan Buyong adalah merupakan tukang masak).
KISAH PENGORBANAN
Ini merupakan sebahagian dari kisah pengorbanan yang telah dicurahkan oleh para pahlawan-pahlawan negara dimana mereka sanggup mempertaruhkan jasad dan nyawa mereka demi mempertahankan maruah dan nama negara Malaysia yang tercinta. Semoga ia dapat menjadi renungan dan pengorbanan para pahlawan yang terdahulu tidak akan kita lupakan. Al-Fatihah kepada mereka yang telah pergi ....
lt_jen_dato_seri_zaini LT JEN DATO' SERI ZAINI HJ MOHD SAID berasal dari Ulu Lenggeng, Negeri Sembilan. Semasa kejadian rompakan senjata di Batalion 304 Askar Wataniah, beliau memainkan peranan sepenuhnya dalam perancangan memujuk kumpulan Al-Maunah menyerah diri dengan menggunakan rayuan daripada isteri, anak dan anggota keluarga kumpulan perompak tersebut. Pada 6 Jul 2000, beliau menawarkan diri untuk berunding dengan ketua kumpulan perompak. Dalam situasi yang amat kritikal, beliau mempamerkan keberanian serta keupayaan yang sebenar apabila berjaya menepis senjata yang dihalakan ke arahnya oleh ketua kumpulan Al-Maunah itu dan menghumbannya ke tanah sebelum diserbu oleh anggota yang lain. Tindakan nekad beliau berjaya mengakhiri kejadian tersebut apabila semua anggota kumpulan Al-Maunah menyerah diri. Beliau dikurniakan pingat SP pada 2 Jun 2001
kapt_hamid_awang KAPT HAMID AWANG berasal dari Kuala Terengganu, Terenggnu. Hasil daripada maklumat perisikan yang menyatakan seramai 40 ke 50 pengganas komunis akan berkumpul di Gunung Pueh, Kompeni D 2 RAMD diketuai oleh beliau ditugaskan ke kawasan tersebut. Pada petang 7 Apr 1973, mereka berjaya mengesan satu perkhemahan musuh dan beliau terus mengambil tindakan untuk melancarkan serangan ke atas khemah tersebut. Kapt Hamid memulakan serangan dengan tembakan senjata M 79 dan meluru ke arah kedudukan musuh. Dalam situasi pertempuran itu, seorang pengganas cuba untuk menembak salah seorang anggota. Kapt Hamid dengan berani dan tanpa menghiraukan keselamatan diri bertindak nekad dengan menerkam ke arah pengganas tersebut dan memukul lehernya dengan senjata M 79. Kumpulan Kapt Hamid berjaya membunuh tiga orang pengganas komunis, merampas tiga laras senjata automatik, peluru dan peralatan lain manakala seorang anggotanya terkorban. Beliau dikurniakan pingat SP pada 6 Jun 1973.
mej_zainal_abdul_rashid ALLAHYARHAM MEJ ZAINAL ABDUL RASHID berasal dari Pantai Remis, Perak. Pada 15 Jul 1976 beliau dan lima anggotanya berjaya mengesan sekumpulan 15 pengganas komunis setelah mengekori pergerakan mereka. Setelah membunuh dua pengganas komunis dengan tembakan semburan, Kapt Zainal meluru dengan berani ke arah musuh sambil memberi kata-kata semangat agar anggotanya terus berjuang. Di masa itu seorang pengganas wanita yang tercedera telah membaling sebutir grenad dan mencederakan Kapt Zainal. Keberaniannya yang luar biasa dan daya kepimpinannya yang tinggi membakar semangat juang anggota-anggotanya menggempur musuh. Mereka berjaya membunuh enam daripada 15 orang pengganas dan merampas selaras mortar 60 mm, tujuh pucuk repal, peluru, bom dan peralatan lain. Kapt Zainal telah gugur dalam pertempuran itu. Beliau dikurniakan pingat SP pada 1 Jun 1977.
kapt_mohana_chandran KAPT MOHANA CHANDRAN AL VELAYUTHAN berasal dari Seremban, Negeri Sembilan. Kumpulan tinjau khas berkekuatan 23 orang diketuai oleh Kapt Mohana Chandran ditugaskan ke kawasan Hutan Simpan Ulu Kinta untuk menjejak pengganas komunis. Pada 13 Jun 1971, semasa sedang mendaki sebuah bukit, mereka berjaya mengesan tiga orang pengganas berhampiran sebuah perkhemahan pengganas yang besar di kawasan hutan tersebut. Kapt Chandran bersama Rjr Abang Bolhi bin Abang Doladi melepaskan tembakan. Tembakan balas musuh telah mencederakan Rjr Bolhi. Pertempuran tersebut turut dibantu oleh Rjr Bajau ak Ladi. Melihat kedatangan Rjr Bajau yang datang membantu, Kapt Chandran bergerak dengan berani tanpa menghiraukan risiko merapati kedudukan musuh yang berkekuatan lebih besar sambil diberi tembakan perlindungan oleh Rjr Bajau. Musuh yang berada di atas bukit membalas tembakan dan terkena kepala Kapt Chandran. Beliau meninggal dunia di tempat pertempuran. Beliau dikurniakan pingat SP pada 7 Jun 1972
ltm_abd_hamid_ismail LT M ABD HAMID ISMAIL berasal dari Kampung Teluk Malik, Jitra Kedah. Pada 8 Sep 1973 kumpulan ronda seramai sembilan orang pimpinan Lt M Abd Hamid berjaya mengesan sekumpulan pengganas yang sedang berehat. Setelah mengambil kedudukan, Lt M Abd Hamid memulakan pertempuran dengan melepaskan tembakan pertama dan mencederakan seorang pengganas. Musuh yang tercedera berundur dengan pantas dari kawasan pertempuran. Dalam usaha menyusun anggotanya untuk serangan ke kedudukan musuh, Lt M Abd Hamid yang dalam keadaan berdiri telah ditembak di bahagian perut oleh seorang pengganas. Beliau terkorban dalam pertempuran tersebut. Seorang pengganas berjaya dibunuh, selaras tommy gun madson 645 bersama peluru dan lima beg galas berjaya dirampas di tempat kejadian. Beliau dikurniakan pingat SP pada 4 Jun 1975.
ltm_abd_razak_husain LT M ABD RAZAK HUSAIN berasal dari Kampung Tawang, Bachok, Kelantan. Pada 1 Nov 1970 bertindak daripada maklumat mengenai kesan pergerakan pengganas komunis, Ketua Platun Harimau (Tiger Platoon) 8 RAMD, Lt M Abdul Razak diarah melakukan rondaan mencari dan memusnahkan musuh. Lt M Razak mengambil tindakan mendahului kumpulan ronda dan apabila menghampiri sebuah bukit kecil, mereka ditembak oleh musuh yang berada di atas bukit. Menyedari keadaan yang mereka dikepung oleh musuh, Lt M Razak melepaskan tembakan senjata SLR ke arah kedudukan senjata LMG musuh. Tembakan bertubi-tubi musuh menghujani kedudukan kumpulan Lt M Razak. Beliau tidak mempunyai pilihan lain untuk mengurangi tekanan musuh keatas pasukannya dan dengan keberanian yang luar biasa, beliau bangun berdiri sambil menembak ke arah musuh untuk melindungi anggota-anggotanya yang langsung tidak mempunyai perlindungan. Dalam usaha tersebut, Lt M Abdul Razak terkena tembakan pengganas dan terkorban ditempat kejadian. Beliau dikurniakan pingat SP pada 2 Nov 1971.
pw_kanang_ak_langkau PW I (B) KANANG AK LANGKAU berasal dari Kanowit, Sarawak. Pada 19 Feb 1980 Platun Risik Gempur (UCIS) 8 Renjer yang diketuai oleh Kapt Johnson ak Meling dibantu oleh Sjn Kanang ditugaskan ke kawasan tanah hitam untuk menjejak segerombolan pengganas komunis yang menembak mati seorang anggota 25 RAMD beberapa hari sebelumnya. Sjn Kanang yang mengetuai satu kumpulan berjaya menjejak sekumpulan pengganas yang dicari. Beliau melepaskan tembakan dan terus menyerbu ke kedudukan musuh. Musuh berjaya melepaskan diri dan penjejakan diteruskan oleh Sjn Kanang yang bertindak sebagai peninjau hadapan pada pagi 19 Feb 1980. Semasa bergerak, Sjn Kanang berjaya mengesan jerangkap samar yang dipasang musuh. Dalam keadaan itulah tiba-tiba mereka dihujani tembakan musuh. Sjn Kanang mempamerkan keberanian yang luar biasa dan tanpa menghiraukan kecederaannya terus menggempur ke arah musuh sambil memberikan kata-kata semangat kepada anggota-anggotanya untuk terus bertempur. Beliau mengalami kecederaan parah yang hampir meragut nyawanya. Beliau dikurniakan pingat SP pada 3 Jun 1981.
pw2_lenggu_ak_cina PW II LENGGU AK CINA berasal dari Sungai Baloh, Ngemah, Kanowit, Sarawak. Pada 20 Jan 1971 semasa menjalankan operasi di Sungai Katibas, PW II Lenggu bersama kumpulan yang diketuai oleh Lt M Anuar Basha Khan Akaria diserang hendap di Tanjung Batu Babi. Tembakan musuh tidak menghalang PW II Lenggu merapati tebing sungai dan menggempur kedudukan musuh. Kumpulan PW II Lenggu berjaya membunuh empat orang pengganas komunis dan memaksa mereka meninggalkan kedudukan. Pasukannya mengalami tujuh kematian manakala dua anggota termasuk Lt M Anuar Basha tercedera. Selaras senjata bersama 30 butir peluru 303 dan dokumen pengganas merupakan antara kelengkapan musuh yang berjaya dirampas di tempat kejadian. Beliau dikurniakan pingat SP pada 2 Jun 1971.
kpl_mat_azman_awang KPL MAT AZNAN AWANG berasal dari Kampung Parit Panjang, Baling, Kedah. Pada 4 Okt 1993 Allahyarham Kpl Mat Aznan terlibat dalam misi menyelamat 70 orang US Rangers dan lima orang anggota Tentera Udara Amerika Syarikat yang dikepung di kawasan Bakara Market oleh militia Farah Aideed. Kereta perisai yang dipandu oleh Allahyarham ditembak dengan senjata anti kereta kebal dari arah hadapan menembusi cermin kalis peluru dan terkena bahagian bahu kiri Allahyarham serta mencederakan sembilan anggota yang lain. Dalam peristiwa ini, empat buah Kereta Perisai Pengangkutan Anggota (KPPA) jenis Condor juga Musnah. Usaha menyelamat anggota tentera Amerika Syarikat ini telah dilaksanakan dengan cemerlang oleh anggota MALBAT. Kpl Aznan meninggal dunia. Beliau dikurniakan pingat SP pada 4 Jun 1994.
lkpl_saimon_tarikat LKPL SAIMON TARIKAT berasal dari Kampung Parit Rambai Ulu, Pontian, Johor. Pada 25 Jan 1983 berdasarkan kepada maklumat tentang aktiviti pengganas komunis, anggota PKPT seramai 12 orang diatur gerak dalam misi khas di Kampong Titi. Kumpulan ini dipecahkan kepada tiga kumpulan kecil. Dalam keadaan samar di waktu malam, LKpl Saimon dan seorang rakannya melihat dua orang pengganas komunis sedang menuruni bukit. Tanpa berlengah mereka melepaskan beberapa tembakan. Di waktu itu, seorang pengganas wanita menjerit supaya kawannya melarikan diri. Dalam situasi genting itu, LKpl Saimon dengan berani merangkak menaiki teres bukit menghampiri wanita tersebut untuk membunuhnya. Tindakannya itu menarik perhatian seorang pengganas lelaki yang terus melepaskan tembakan dan mengenai LKpl Saimon. Beliau terkorban dalam pertempuran tersebut. Dalam operasi ini dua pengganas komunis berjaya dibunuh. Dua laras senjata bersama peluru adalah antara yang telah dirampas daripada pengganas. Beliau dikurniakan pingat SP pada 1 Jun 1983.
tpr_rasli_buang TPR RASLI BUANG berasal dari Kampung Buntal Lumut, Kuching, Sarawak. Pada 6 Jul 1971 Terup No. 3, Skuadron X yang dianggotai oleh Tpr Rasli ditugaskan ke Hutan Perlop untuk misi khas memusnahkan musuh. Semasa sedang meronda, mereka ditembak oleh segerombolan pengganas komunis. Setelah dua anggota cedera ditembak, Tpr Rasli membalas tembakan musuh sambil bergerak dengan berani menghampiri rakannya yang tercedera. Ketika berbalas tembakan, sebutir peluru musuh mengenai leher Tpr Rasli dan mengorbankannya. Dalam pertempuran itu, angka kematian mahupun kecederaan bagi pihak musuh tidak diperolehi sementara Terup No. 3 mengalami dua kematian dan seorang tercedera. Beliau dikurniakan pingat SP pada 7 Jul 1972.
jen_tansri_mohd_ghazali JEN (B) TAN SRI MOHD GHAZALI BIN CHE MAT berasal dari Lenggong, Perak. Pada 13 Nov 1957, Platun 1 Kompeni A, 2 RAMD di bawah pimpinan Lt M Ghazali bertembung dengan salah satu kumpulan yang dikenali sebagai 37/39 Platun Pembebasan dari Rejimen Ke-5 PKM. Semasa mendaki bukit untuk merapati kedudukan musuh, mereka ditembak bertubi-tubi dari atas bukit. Menyedari keadaan bahawa anggota-anggota tidak dapat membalas tembakan, Lt M Ghazali dan seorang anggotanya bernama Pbt Hassan Selati menyerbu ke arah musuh sambil melepaskan tembakan. Tindakan nekad dan berani tersebut mengejutkan musuh dan memaksa mereka berundur. Dalam pertempuran ini, dua orang pengganas komunis berjaya dibunuh. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 31 Ogos 1958.
mej_jen_abdul_rahman_khamis MEJ JEN (B) ABDUL RAHMAN KHAMIS berasal dari Alor Gajah, Melaka. Pada 8 Jul 1957 hasil daripada maklumat seorang pengganas komunis yang menyerah diri, Lt Abd rahman yang memimpin Platun 11 Kompeni C, 6 RAMD diarah untuk menjejaki perkhemahan musuh. Hasil penjejakan tersebut, kedudukan musuh dapat dikesan di sebuah kawasan lembah. Beliau membahagikan platunnya kepada tiga kumpulan kecil untuk melaksanakan serang hendap ke atas pekhemahan tersebut. Setelah mengatur kedudukan, mereka menunggu di lorong yang akan dilalui oleh pengganas untuk kembali ke khemah mereka. Pada jam 1445, seorang pengganas lelaki dan wanita mula memasuki perkhemahan itu. Lt Abdul Rahman mengekori mereka dan dalam jarak 25 ela, beliau menembak dan membunuh pengganas lelaki serta mencederakan pengganas wanita. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 31 Ogos 1958.
mej_jen_dato_abdul_kadir MEJ JEN (B) DATO' ABDUL KADIR NORDIN berasal dari Kelantan. Pada 1965 semasa OP OAK TREE yang dilaksanakan di Kota Tinggi, Lt M Abdul Kadir diarahkan untuk menawan musuh yang berkumpul di sebuah rumah kongsi. Beliau bersama-sama platunnya bergerak ke lokasi musuh pada sebelah malam untuk mengepung rumah kongsi tersebut dengan dua kumpulan penyekat dan satu kumpulan serangan. Serangan tersebut sepatutnya dimulakan dengan tembakan pistol suaran tetapi tidak berlaku kerana peluru yang ditembak tidak meletup. Dengan beranggapan kedua-dua kumpulan penyekatnya berada dalam kedudukan, Lt M Kadir meluru ke rumah kongsi tersebut dan mengarahkan musuh yang berada di dalam rumah itu keluar menyerah diri. Tindakan yang berani itu mengejutkan musuh dan seramai sembilan orang menyerah diri. Ketika mengawasi musuh keluar dari rumah tersebut barulah Lt M Kadir sedar bahawa hanya beliau dan seorang anggotanya sahaja yang menyerbu ke rumah kongsi manakala anggotanya yang lain masih belum mengambil kedudukan menyekat. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 8 Jun 1966.
brig_jen_abdullah_babu MEJ JEN DATO' ABDULLAH BABU berasal dari Yong Peng, Johor. Pada 24 Mac 1979 setelah menjumpai perkhemahan musuh, Kapt Abdullah yang mengetuai 18 anggota lain terus mengatur kedudukan untuk melancarkan serangan. Tembakan pertama daripada Sjn Mohd Zain yang terserempak dengan seorang pengganas semasa bergerak untuk menyerang. Serentak dengan itu, Kapt Abdullah dan kumpulan penyerang melepaskan tembakan bertubi-tubi dan berjaya menumbangkan seorang musuh. Terkejut dengan serangan tersebut, musuh cuba untuk melarikan diri tetapi Kapt Abdullah dan anggota-anggotanya meneruskan penjejakan dan berjaya menembak mati seorang pengganas wanita. Setelah penggeledahan dilakukan, kumpulan yang diketuai oleh Kapt Abdullah berjaya membunuh tiga pengganas, merampas sepucuk senjata SLR, peluru, risalah komunis, bahan makanan dan lapan kad pengenalan awam. Beliau dikurniankan pingat PGB pada 7 Jun 1981.
kol_ismail_salleh KOL (B) ISMAIL SALLEH berasal dari Alor Setar, Kedah. Pada 23 Ogos 1970 Kompeni C 6 Renjer pimpinan Mej Ismail digerakkan untuk menyekat penyusupan pengganas komunis. Musuh yang ada awalnya berundur bertindak menyerang balas dengan kekuatan lebih kurang 70 orang. Dengan bantuan tembakan artileri, Mej Ismail memimpin kompeninya untuk menggempur kedudukan musuh yang terkepung. Beliau mempamerkan ketabahan dan kecekalan yang tinggi sepanjang tujuh jam pertempuran tersebut berlangsung. Hasil daripada pertempuran ini seramai empat orang pengganas berjaya dibunuh. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Jun 1971.
kol_maurice_lam_shye KOL (B) MAURICE LAM SHYE CHOON berasal dari Pulau Pinang. Pada 12 Nov 1961 semasa pemberontak Congo seramai lebih kurang 40 orang cuba mengepung dan menyerang Mes Pegawai untuk menangkap beberapa pegawai tentera udara Itali, beliau mempamerkan keberanian dengan menggerakkan dua buah kereta perisai untuk menawan semula Mes Pegawai. Tindakan berani dan nekad Kapt Maurice berjaya menyelamatkan anggota, peralatan dan persenjataan Pasukan Khas Malaya (Malaya Special Forces (MSF) dari jatuh ke tangan tentera pemberontak Congo yang ketika itu menyerang dan mengepung Mes Pegawai termasuk Lapangan Terbang Kindu. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 5 Jun 1963.
lt_kol_ismail_ghows LT KOL (B) ISMAIL GHOWS berasal dari Kampung Boyan, Taiping Perak. Pada 5 Okt 1966 berpandukan kepada maklumat tentang sekumpulan Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) yang akan mengadakan perjumpaan, Kompeni Markas 7 RAMD pimpinan Mej Ismail digerakkan ke kawasan yang disyaki di Kampung Jawa. Pada sebelah malam, semasa kompeni tersebut berada di tepi sebatang sungai, beliau menjumpai pakaian awam dan melihat satu pergerakan di dalam air. Dengan semangat keberanian dan keperwiraan, Mej Ismail terjun ke dalam sungai dan menerkam ke arah musuh yang bersenjata ketika itu. Beliau berjaya memberkas enam anggota TNKU setelah bergelut dengan mereka di dalam air. Setelah anggota-anggota datang membantu, Mej Ismail sekali lagi terserempak dengan dua lagi anggota TNKU dan berjaya menangkap mereka. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 7 Jun 1967.
ltkol_ahmad_abd_rashid LT KOL AHMAD ABD RASHID berasal dari Batu 18, Kampung Tok Ya, Jitra, Kedah. Pada malam 30 Nov 1974, Kapt Ahmad bersama 11 orang anggota PKPT membuat serang hendap terhadap sekumpulan musuh daripada Unit Penggempur Ke-6 yang datang mengambil bekalan makanan. Dalam serang hendap pertama, beliau berjaya membunuh seorang pengganas wanita. Seterusnya beliau mengambil tindakan berani dengan melancarkan serang hendap kedua dan berjaya membunuh seorang lagi pengganas komunis. Peralatan pengganas yang dirampas di tempat kejadian adalah sepucuk pistol browning 9 mm bersama peluru dan ubat-ubatan. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 4 Jun 1975.
lt_kol_abdullah_dolmat LT KOL (B) ABDULLAH DOLMAT berasal dari Jasin, Melaka. Pada 21 Okt 1974 ekoran daripada maklumat yang diperolehi mengenai kegiatan pengganas komunis yang cuba mempengaruhi penduduk kampung di Sungai Moyan, Lt M Abdullah dan 10 anggota serta empat anggota Cawangan Khas Polis dipilih melaksanakan misi menyerang dan memusnahkan musuh di kawasan tersebut. Setelah menjumpai perkhemahan musuh, Lt M Abdullah mengatur kedudukan anggotanya. Pada jam 0600, mereka mula merangkak merapati ke khemah musuh. Setelah ditembak oleh musuh yang menyedari kehadiran mereka, Lt M Abdullah memimpin anggotanya dengan berani mara dan menggempur ke perkhemahan teersebut. Dimasa yang sama kumpulan penyekat turut melepaskan tembakan. Mereka berjaya membunuh lima orang pengganas serta merampas lima laras senjata, sepucuk pistol, peluru dan kelengkapan lain. Seorang anggotanya mendapat kecederaan ringan di dada akibat tembakan musuh. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 26 Nov 1974.
lt_kol_robert_rizal LT KOL (B) ROBERT RIZAL ABDULLAH berasal dari Kampung Lachau Dua, Simanggang, Sarawak. 10 dan 11 Okt 1973 semasa melakukan misi penjejakan di waktu malam pada 10 Okt 1973, Platun 12, berjaya membunuh dua pengganas komunis. Susulan itu, kompeni pimpinan Kapt Rizal bergabung dengan Platun 12 dan memulakan penjejakan mencari dan memusnahkan musuh. Pada lebih kurang 0100, mereka menjumpai sebuah perkhemaham sementara musuh yang dianggarkan berkekuatan 30 - 40 orang. Setelah mengambil kedudukan pada jam 0615, Kapt Rizal memulakan serangan dengan tembakan dari senjatanya. Serangan mengejut tersebut menyebabkan musuh menjadi kelam kabut dan cuba melarikan diri. Kapt Rizal dan anggotanya terus menyerbu dengan berani dan hasilnya mereka berjaya membunuh tujuh orang pengganas dan merampas lapan laras senjata, sepucuk pistol, peluru serta kelengkapan pengganas. Pasukan sendiri mengalami kematian dan satu kecederaan. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 27 Dis 1973.
lt_kol_kassmim_abd_kadir LT KOL (B) KASSIM ABDUL KADIR berasal dari Labuan, Sabah. Pada 14 Mei 1971 semasa sedang meronda di Bukit Besar, Lt M Kassim terdengar satu tembakan dan jeritan dari anggota Pasukan Khas Perisikan Tentera (PKPT). Beliau dan platunnya berkejar ke tempat kejadian dan mendapati PKPT diserang oleh sekumpulan musuh. Tanpa membuang masa, beliau memimpin platunnya melancarkan serangan. Lt M Kassim dan Rjr Mereng dengan tangkas dan berani menuruni lereng bukit sambil melepaskan tembakan semburan dan menumbangkan seorang demi seorang musuh. Hasilnya mereka berjaya membunuh seramai lima orang musuh dan merampas sebilangan senjata dan kelengkapan mereka. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 7 Jun 1972.
lt_kol_abd_jalil_makmor LT KOL (B) ABD JALIL MAKMOR berasal dari Kampung Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan. Pada 10 Dis 1974 Lt M Abd Jalil dan Platun 7, Kompeni C, 1 RAMD diarahkan membuat penyapuan (sweep) di kawasan tanggungjawab Kompeni C di Bukit Lintang, Karak. Semasa melaksanakan tugas tersebut seorang anggota senjata bantuan kompeni ditembak oleh pengganas komunis dari arah belakang. Lt M Abd Jalil mengambil tindakan berani untuk menjejak musuh tersebut. Setelah beberapa ketika, Platun 7 sekali lagi ditembak oleh pengganas. Lt M Abd Jalil dapat melihat musuh yang berkedudukan 10 kaki sahaja dari tempat perlindungan beliau. Tanpa menghiraukan keselamatan diri, beliau menembak musuh tersebut dengan MGK dan membunuhnya. Sepucuk pistol yang diubahsuai serta peluru, bahan letupan, sedikit makanan dan peralatan dirampas dari pengganas yang terbunuh. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 7 Jun 1975.
lt_kol_basri_omar LT KOL BASRI OMAR berasal dari Merbok, Bedong, Kedah. Pada 25 Apr 1976 Kapt Basri dan kumpulannya diarahkan mem- buat pembersihan di sebuah terowong yang terletak di kawasan perkhemahan musuh yang ditawan. Risiko yang diambil terlalu tinggi kerana laluan di terowong tersebut dipenuhi dengan jerangkap samar yang masih aktif. Semasa melakukan pembersihan, sebutir jerangkap samar meletup. Beliau mendapat kecederaan dan seorang anggotanya cedera parah lalu meninggal dunia kemudiannya. Semasa menunggu ketibaan helikopter, beliau memberikan kata-kata semangat dan perangsang kepada kumpulan membersih jerangkap samar yang lain untuk meneruskan tugas-tugas mereka. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Jun 1976.
mej_baharin_abd_jalil MEJ (B) BAHARIN ABD JALIL berasal dari Kuala Krai, Kelantan. Pada 17 Mac 1971 Lt M Baharin dan Rjr Lan ak Gima membuat penjejakan dan berjaya mengesan sekumpulan pengganas komunis yang berkekuatan lebih dari 14 orang. Lt M Baharin dengan berani dan nekad mengambil tindakan memulakan tembakan secara berseorangan sehingga kehabisan satu kelopak peluru, kemudian Rjr Lan ak Gima meneruskan tembakan ke arah musuh. Selepas itu tanpa menghiraukan hujanan peluru musuh, kedua-kedua mereka dengan pantas dan serta merta menyerbu ke kedudukan musuh sambil melepaskan tembakan. Dalam pertempuran tersebut mereka berjaya membunuh 13 orang pengganas serta merampas tujuh laras senjata, tujuk pucuk pistol, peluru dan 14 beg galas mengandungi kelengkapan persendirian pengganas. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Jun 1971.
mej_neville_herbert MEJ (B) NEVILLE HERBERT SIEBEL berasal dari Kuala Lumpur. Pada 12 Nov 1961 sekumpulan 40 hingga 50 orang tentera pemberontak Congo yang lengkap bersenjata mengepung Mes Pegawai di Kindu. Ketika itu beberapa orang pemberontak memukul dan memijak anggota-anggota tentera udara Itali. Menyedari keadaan tersebut Lt M Siebel bersama-sama Lt M Low Tung Yeow dan Kapt Maurice Lam mengambil tindakan nekad dengan menembak ke arah pemberontak. Lt M Siebel yang bertindak sebagai ketua kereta turut dipukul dalam pergelutan tersebut. Beliau berjaya menawan seorang pemberontak. Mereka kemudiannya terus berhadapan dengan kumpulan pemberontak tersebut walaupun mendapat arahan untuk menyerahkan senjata dan kereta perisai. Tindakan mengengkari arahan dalam situasi berkenaan adalah tepat kerana mereka berjuang mempertahankan peralatan dan persenjataan Pasukan Khas Malaya dan anggota-anggota yang diamanahkan dari jatuh ke tangan tentera pemberontak Congo yang turut menyerah dan mengepung Lapangan Terbang Kindu. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 5 Jun 1963.
mej_lee_ah_pow MEJ (B) LEE AH POW Pada 12 Sep 1962, Trup No 2 C Skuadron yang dipimpin oleh Lt Lee diarahkan membuat rondaan di utara Lapangan Terbang Elisabethville. Pada jam 1100, semasa berpatah balik ke pangkalan, mereka melalui sebuah lorong di persimpangan Martini. Selepas 30 km memasuki lorong tersebut, sekumpulan 30 ke 40 orang tentera Katanga mengepung konvoi mereka dan melepaskan tembakan apabila diarahkan berundur oleh Lt Lee. Dalam usaha menyelamatkan konvoi dari terus diserang, satu tembakan semburan pendek browing machine gun dilepaskan ke arah tentera Katanga. Tindakan ini menyebabkan tentera Katanga lari meninggalkan kedudukan mereka. Setelah penggeledahan dibuat Lt Lee mendapati dua orang tentera Katanga terbunuh dan banyak senjata serta peluru ditinggalkan oleh mereka. Tindakan berani dan pantas yang dilakukan oleh Lt Lee ini menyelamatkan satu seksyen tentera Gurkha yang turut dikepong oleh tentera Katanga. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 3 Jun 1964.
kapt_shanmuganathan KAPT SHANMUGANATHAN AL E.RAMPOO berasal dari Tanjung Malim, Perak. Pada 11 Jan 1974, seramai 22 anggota Platun 6 Kompeni B 5 Renjer pimpinan Kapt Shanmuganathan berjaya mengesan perkhemahan pengganas komunis di atas sebuah bukit di kawasan Sungai Liang, Raub, Pahang. Setelah membuat perancangan, beliau memimpin platunnya melancarkan serangan. Kapt Shanmuganathan menunjukkan keberanian dan sanggup mengambil risiko apabila meneruskan pendakian ke arah khemah musuh walaupun tembakan balas musuh menghujani platunnya. Dalam usaha itu, sebutir peluru musuh terkena Kapt Shanmuganathan. Melihat keadaan tersebut, Rjr Mat Isa berusaha menarik tubuh Kapt Shanmuganathan keluar dari kawasan pertempuran. Seterusnya Rjr Mat Isa melindungi Kapt Shanmuganathan dengan merebahkan tubuhnya ke atas Kapt Shanmuganathan sehingga beliau sendiri terbunuh akibat terkena tembakan pengganas. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 4 Jun 1975.
mej_kamaruddin_mohd_jamal MEJ (B) KAMARUDDIN MOHD JAMAL berasal dari Kuala Lipis, Pahang. Pada 21 Ogos 1964 berdasarkan kepada maklumat tentang pendaratan Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang berjumlah 12 hingga 15 orang di Pontian, kumpulan yang diketuai oleh Lt M Kamaruddin digerakkan untuk menghapuskan kumpulan penceroboh tersebut. Semasa mendekati musuh, mereka ditembak dengan senjata automatik. Setelah menyedari tembakan kumpulan tersebut tidak berkesan, Lt M Kamaruddin pun membalingkan grenad ke arah sasaran sambil meniupkan kata-kata semangat. Lt M Kamaruddin berjaya membunuh seorang TNI yang cuba menembak ke arahnya. Keseluruhannya mereka berjaya membunuh empat orang TNI, merampas senjata peluru dan peralatan lain. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 21 Jun 1965.
mej_mohamad_basri MEJ (B) MOHAMAD BASRI DIN berasal dari Kodiang Kedah. Pada 6 Okt 1974, Lt Muda Basri Din bersama Platunnya ditugaskan untuk membantu platun pasukan Polis Hutan (PPH) yang diserang hendap. Apabila sampai dilokasi Platun PPH, Lt Muda Basri terus melaksanakan penjejakan bagi memburu musuh yang melarikan diri selepas serang hendap berlaku. Dalam penjejakan tersebut Kumpulan PPH diserang hendap di sebuah lereng bukit. Tembakan musuh dibalas dengan berani oleh Lt Muda Basri serta Kumpulan PPH. Pertempuran berlaku sehingga hari gelap. Lt Muda Basri menunjukkan keberanian dan tanggungjawab sebagai seorang ketua dengan membalas serangan musuh sambil meniup kata-kata semangat kepada anggotanya untuk terus bertempur. Hasil pertempuran tersebut, Lt Muda Basri berjaya membunuh seorang pengganas. Pada keesokan harinya beliau berjaya membunuh seorang lagi pengganas dengan menggunakan grenad. Beliau dikurniakan pingat PGB pada 4 Jun 1975
mej_samaon_ahmad Mej (B) Samaon Ahmad berasal dari Batu Kikir, Bahau, Negeri Sembilan pada 15 Jun 1972 berdasarkan maklumat bahawa sekumpulan pengganas daripada Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) akan mengadakan perjumpaan, Lt Samaon bersama tiga orang bekas pengganas komunis yang menyerah diri dan anggota dari Rejimen Komando Angkatan Darat Indonesia ditugaskan untuk melaksanakan misi menghapuskan kumpulan tersebut. Setelah menjumpai perkhemahan mereka, Lt Samaon membuat perancangan dan memulakan tembakan semburan ke arah ketua pengganas dan membunuhnya.  Pertempuran berlarutan buat beberapa ketika sehinggalah semua pengganas terkorban.  Hasilnya tiga pengganas berjaya dibunuh dan beberapa senjata seperti thompson, stengun dan pistol serta dokumen lain berjaya dirampas.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 6 Jun 1973.
mej_salahuddin_abdul_mutalib Mej (B) Salahuddin Mutalib berasal dari Telok Anson, Perak.  Pada 21 Jul 1972, Lt Salahuddin diarahkan untuk melaksanakan misi membunuh Komander Pasukan Bersenjata 330 Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) iaitu Fam Tze Heung dan isterinya.  Pada malam 16 Jul 1972, bersama tiga orang Bekas Pengganas Komunis (SEP), Lt Salahuddin bergerak menjalankan misi tersebut.  Setelah empat hari menunggu, akhirnya Fam Tze Heung muncul bersama SEP.  Dalam samar-samar kegelapan malam dan setelah memastikan sasarannya, Lt M Salahuddin melepaskan tembakan MGK ke arah kedua-dua pengganas.  Fam Tze yang tercedera membalas tembakan tetapi tidak mengenai sasaran. Lt Salahuddin bertindak nekad dan dengan berani memukul musuhnya dengan senjata MGK lantas menjatuhkannya.  Lt Salahuddin kemudian memulas tengkuk Fam Tze dan menggunakan pisau untuk membunuhnya.  Seterusnya beliau menerpa ke arah isteri Fam Tze dan menikam sebanyak dua kali di dadanya.  Sepucuk AK 47 dan Stengun, peluru serta kelengkapan pengganas berjaya dirampas.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 6 Jun 1973.
mej_mohd_hpiah Mej (B) Mohd H Piah Ali berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu.  Pada 7 Okt 1977 jam 1030, semasa berhenti rehat dalam perjalanan ke pangkalan baru, Lt Mohd H Piah menghantar satu kumpulan ronda.  Semasa membuat rondaan kumpulan tersebut terlihat sebuah perkhemahan yang terletak di sebuah bukit dan beberapa orang pengganas komunis.  Ketua Kumpulan ronda tersebut memaklumkan perkara berkenaan kepada Lt Mohd H Piah dan mereka diarahkan balik ke pangkalan untuk tindakan seterusnya. Selepas menunaikan solat zohor beliau bersama platunnya ke kedudukan perkhemahan musuh.  Tepat pada jam 1700, beliau melepaskan satu tembakan ke arah musuh sebagai isyarat memulakan serangan.  Serentak dengan itu perkhemahan pengganas dihujani dengan peluru dari Platun Lt Mohd H Piah.  Hasil dari pertempuran itu, platunnya berjaya membunuh empat orang pengganas komunis.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 7 Jun 1978.
mej_roslan_abd_rahman Mej Roslan Abd Rahman berasal dari Kg Melayu Majidee, Johor Bahru, Johor.  Lt M Roslan memimpin Platun 5 Kompeni B 14 RAMD diarahkan untuk membuat rondaan tempur setelah menjumpai kesan pergerakan pengganas.  Pada 25 Okt 1979, mereka menjumpai sebuah kebun keledek yang disyaki kepunyaan pengganas komunis.  Setelah melakukan tinjauan, Lt M Roslan menjumpai sebuah perkhemahan yang diduduki oleh empat orang pengganas komunis yang ketika itu sedang bekerja di kebun tersebut.  Lt M Roslan mengambil keputusan untuk menyerang.  Tembakan semburan pertama dari senjata Lt M Roslan dan anggota-anggotanya berjaya membunuh dua pengganas komunis. Semasa penggeledahan dilakukan seorang lagi pengganas wanita dibunuh dan seorang dipercayai berjaya melepaskan diri.  Platun 5 turut merampas dua pucuk senjata Carbine, lapan kelopak dan 242 butir peluru, sepucuk senjata point 22, kelopak dan 112 butir peluru, sebutir grenad dan peralatan lain.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 19 Dis 1980.
mej_km_michael_riman Mej KM (B) Michael Riman ak Bugat berasal dari Saribas, Sarawak.  Pada 1 Jun 1979 Platun Risik Gempur (UCIS) yang dianggotai oleh Kpl Michael dan diketuai oleh Sjn Kanang ak Langkau berjaya menjejak kesan musuh sehingga bertembung dengan tempat rehat mereka.  Dalam pertempuran tersebut, beliau dengan berani terus menyerang dan merempuh ke arah musuh. Di atas sikap keberanian yang ditunjukkan beliau dan kumpulannya berjaya membunuh seramai lima orang pengganas komunis.  Pertempuran tersebut juga meragut nyawa seorang anggota kumpulannya dan beliau sendiri mendapat kecederaan parah di bahagian lengan.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 6 Jun 1984.
lt_kol_halim_khalid Lt Kol Halim Khalid berasal dari Kampung Simpang Pulai, Ipoh, Perak.  Pada 27 Sep 1993, Platun 4 Kompeni B 19 RAMD(Mek) yang diketuai oleh Kapt Halim Khalid iaitu Penolong Ketua Kompeni B ditugaskan untuk memberi kawalan keselamatan di Mahkamah Awan di Old Port, Mogadishu, Somalia.  Semasa melaksanakan tugas ini, Platun 4 diserang oleh militia yang bersenjatakan RPG, senjata automatik, repal dan grenad. Kapt Halim memperlihatkan semangat keberaniaan yang luar biasa dengan mengarahkan anggota-anggotanya membalas tembakan dan bertempur dengan puak militia.  Semangat juang yang ditunjukkan menyebabkan puak militia mengurangkan serangan dan Platun 4 berjaya menyelamatkan tiga orang hakim Somalia dari menjadi korban puak militia.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Okt 1994
mej_abd_aziz_abd_latif Mej Abd Aziz Abd Latif berasal dari Kampung Pak Badol, Bachok Kelantan.  Pada 4 Okt 1993 Mej Abd Aziz terlibat dalam misi menyelamat 70 orang US Rangers dan lima orang anggota Tentera Udara Amerika Syarikat yang dikepung di kawasan Bakara Market oleh Militia Farah Aideed.  Sebagai Ketua Kompeni, Mej Aziz dengan beraninya turun dari kenderaan untuk menyelamat anggota yang cedera sambil memberikan kata-kata semangat untuk mereka terus membalas tembakan musuh. Misi menyelamat ini dilaksanakan dengan cemerlang oleh anggota MALBAT walaupun seorang anggota terkorban dan sembilan anggota tercedera serta kerosakan empat buah Kereta Perisai Pengangkut Anggota (KPPA) akibat ditembak dengan senjata anti kereta kebal.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Okt 1994.
kapt_suhaidi_hj_saad Kapt Suhaidi Hj Saad berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.  Pda 27 Ogos 1993 kira-kira jam 0500 semasa Lt Suhaidi mengetuai Platun 2 Kompeni A 21 RAMD yang hanya berkekuatan enam orang diserang oleh sekumpulan lanun di Laut Sulu, Lt M Suhaidi bertindak membangkitkan semangat anggota-anggotanya untuk bertempur walaupun berkekuatan kecil. Lt M Suhaidi mempamerkan keberanian dengan membalas tembakan lanun tanpa menghiraukan risiko dan keselamatan diri sambil mengarahkan anggota-anggotanya menembak ke arah lanun.  Platunnya membunuh dua orang lanun dan mencederakan tiga yang lain.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 1 Jun 1997.
kapt_panir_chellvum_al_velaitham Kapt (B) Panir Chellvum al Velaitham berasal dari Kulim, Kedah.  Pada 14 Feb 1977 Lt M Panir bersama empat anggota terlibat dalam gerakan menyerang hendap pengganas komunis yang dipercayai akan mengambil makanan dari penyokong mereka.  Dalam pertempuran ketika serang hendap, kumpulannya berjaya membunuh seorang pengganas.  Sewaktu penggeledahan dilakukan keesokan paginya, mereka menemui seorang pengganas yang tercedera. Lt M Panir mengarahkan anggotanya supaya tidah membunuh pengganas tersebut sebaliknya ditawan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan aktiviti mereka di kawasan itu.  Hasil pertempuran, sebanyak dua laras senjata bersama peluru, bom tangan dan enam beg galas yang mengandungi makanan dan peralatan dirampas.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 7 Jun 1978.
kapt_david_fu_chee_ming Kapt (B) David Fu Chee Ming berasal dari Sibu, Sarawak.  Pada 27 Ogos 1970 anggota Platun 8 Kompeni C 6 Renjer yang diketuai oleh Lt David adalah sebahagian daripada kumpulan yang diarah untuk melakukan serang hendap ke atas satu kumpulan musuh yang dilaporkan akan datang ke suatu tempat yang dikenal pasti.  Setelah musuh memasuki kawasan membunuh, Lt M David terus meletupkan claymore mine diikuti oleh semburan GPMG ke arah pengganas. Platun 8 pimpinan Lt M David berjaya membunuh empat orang pengganas dan merampas tiga senjata automatik bersama sejumlah besar peluru dan enam beg galas yang mengandungi peralatan serta kelengkapan pengganas.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Jun 1971.
kapt_khairul_anuar_abd_aziz Kapt Khairul Anuar Abd Aziz berasal dari Batu 3, Kampung Besut, Jln Temerloh, Pahang.  Pada 4 Okt 1993 Lt M Khairul Anuar terlibat dalam misi menyelamat 70 orang US Rangers dan lima orang krew Udara Tentera Amerika yang dikepung di kawasan Bakara Market oleh Militia Farah Aideed.  Setelah puak militia menggunakan senjata anti kereta kebal, Lt M Khairul mengarahkan anggota-anggotanya membalas tembakan.  Tindakan berani yang diambil olehnya menyebabkan militia berundur dari medan pertempuran. Misi menyelamat ini dilaksanakan dengan cemerlang oleh anggota MALBAT walaupun seorang anggota terkorban dan sembilan anggota tercedera serta empat buah kereta perisai pengangkut anggota (KPPA) rosak akibat ditembak dengan senjata anti kereta kebal oleh Militia Farah Aided.  Beliau dikurniakan pingat PGB pada 2 Okt 1994.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan